بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum
Kali ni saya nak kongsikan artikel yang saya baca di sebuah laman web..tentang hukum dan etika berlawak dalam Islam. Jom baca..
Islam tidak melarang untuk kita berseronok dengan melawak dan bergelak ketawa. Lihatlah bagaimana kisah Rasulullah s.a.w bergurau dengan seorang wanita tua.
Wanita itu berkata baginda, “Doalah kepada Allah supaya Dia memasukkan aku ke dalam syurga.” Baginda menjawab, “Wahai ibu, sesungguhnya orang tua tidak masuk ke dalam syurga.” Perempuan itu balik dan menangis. Baginda s.a.w bersabda: “Beritahulah kepadanya bahawa dia tidak masuk ke dalam syurga dalam keadaan masih tua. Sesungguhnya Allah berfirman, “Sesungguhnya kami mencipta wanita-wanita syurga dengan penciptaan yang baru. Kami jadikan mereka dalam keadaan dara, yang amat mengasihi suaminya dan yang sebaya dengannya.” (H.R. Tirmizi dan Al-Baihaqi)
Abu Hurairah telah meriwayatkan: Para sahabat berkata, “ Wahai Rasulullah sesungguhnya kamu bergurau senda dengan kami.” Baginda menjawab: “Ya, aku bergurau tetapi aku tidak berkata melainkan perkara yang benar.” (H.R. Tirmizi dan Ahmad)
Di sini, Dr. Yusuf Qardawi meletakkan lima etika yang perlu dipatuhi dalam bergurau senda:
Pertama: Tidak menggunakan perkara yang bohong sebagai alat untuk manusia tertawa.
Nabi s.a.w bersabda: “Celaka orang yang bercakap kemudian berbohong supaya manusia ketawa. Celakalah dia dan celakalah dia.” (H.R. Ahmad dan Ad-Darimi)
Nabi s.a.w bersabda: “Kecelakaan ke atas sesiapa yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya, kecelakaan ke atasnya.” (H.R. Abu Daud, Tirmidzi dan An-Nasai’e)
Kedua: Gurauan tidak mengandungi penghinaan terhadap orang lain melainkan diizinkan oleh orang tersebut.
Firman Allah: “Wahai orang2 yang beriman janganlah satu puak itu menghina puak yang lain, kemungkinan orang yang dihina lebih baik dari orang yang menghina. Janganlah wanita menghina wanita yang lain , kemungkinan wanita yang dihina lebih baik baik dari yang wanita menghina… “ (Al-Hujarat, 49:11)
Nabi saw bersabda: “Cukuplah seorang itu melakukan kejahatan apabila dia menghina saudaranya semuslim.” (H.R. Muslim)
Termasuk dalam menghina ialah dengan meniru perbuatan orang lain.
Aisyah r.a berkata, “Aku telah meniru perbuatan seorang manusia.” Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Aku tidak suka meniru perbuatan orang lain.” (H.R. Ahmad dan Baihaqi)
Ketiga: Melawak yang tidak menakutkan orang lain.
Nukman bin Basyir ra berkata: Sesungguhnya kami bersama Rasulullah s.a.w dalam satu perjalanan. Seorang lelaki mengantuk di atas tunggangannya. Seorang lelaki yang lain mengambil anak panah dari busurnya dan mengejutkan lelaki yang mengantuk yang menyebabkan dia terperanjat. Rasulullah saw bersabda: “Haram bagi seorang lelaki menakutkan orang Islam.” (H.R. Thabrani)
Nabi s.a.w bersabda: “Janganlah kamu mengambil barang kepunyaan saudara seislamnya dengan niat melawak ataupun betul-betul.” (H.R. Ahmad)
Keempat: Jangan melawak ditempat yang serius dan jangan serius di tempat melawak.
Dalam Islam ada 3 perkara yang dianggap diambil hukumnya walaupun dalam keadaan melawak. Nabi s.a.w bersabda: “Tiga perkara yang mana diambil hukumnya sama ada dalam keadaan melawak atau serius: 1. Nikah, 2. Cerai, 3. Membebaskan hamba.” (H.R. Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Sesungguhnya Allah telah mencela orang-orang musyrikin yang ketawa ketika mendengar Al-Quran. Firman Allah swt: “Adakah kamu hai musyrikin rasa hairan dengan ayat2 suci al-Quran? Kamu ketawa ketika mendengarnya, tidak menangis ketika mendengarnya dan kamu dengar dalam keadaan lalai.” (An-Najm, 53:59-61)
Kelima: Hendaklah melawak sekadar perlu dan tidak berlebihan.
Nabi s.a.w bersabda: “Janganlah kamu banyak ketawa. Sesungguhnya banyak ketawa boleh mematikan hati.” (H.R. Ahmad dan Ibu Majah)
Saidina Ali r.a: “Masukkan lawak dalam kata2 sekadar kamu memasukkan garam dalam makanan kamu.”
Said bin al-‘As berkata: “Bersederhanalah dalam melawak. Berlebihan dalam melawak akan menghilangkan keindahan dan menyebabkan orang-orang yg bodoh akan berani terhadapmu. Meninggalkan melawak akan menjauhkan orang-orang yang hendak bermesra dan menyebabkan orang-orang yang berdamping denganmu berasa rimas.”
P/s : Semoga etika ni dapat dijadikan garis panduan kepada sesiapa yang gemar bergurau senda dan berlawak~
والسلام