بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum..
Jom la kita saling dengki mendengki...eh, dengki tak berdosa la. Tapi, ada syarat-syaratnya. Dalam Islam..ada beberapa dengki yang diharuskan..jom baca dan fahamkan hadith ni.
Daripada Abdullah Ibn Mas’ud katanya : Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : Tidak ada perasaan irihati atau dengki (dengki yang diharuskan) kecuali dalam dua pekara : Pertama, dengki terhadap kedudukan atau keadaan seseorang yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t dengan harta benda, lalu ia menghabiskannya untuk jalan kebaikan. Kedua, dengki terhadap keadaan seseorang yang telah dikurniakan oleh allah s.w.t. dengan hikmat (kecerdasan dan ilmu pengetahuan) dan mengajarkannya “.
Dalam hadis tersebut di atas menjelaskan berkaitan dengan dua bentuk perasaan dengki sahaja yang dikecualikan daripada dosa, manakala semua bentuk dan jenis dengki selain keduanya itu adalah diharamkan serta tergolong dalam jenis syirik khafi yang menghapuskan amalan seseorang. Dua bentuk perasaan dengki atau irihati yang diharuskan tersebut, malahan digalakkan ada dalam diri seseorang, iaitu :
1. Perasaan cemburu terhadap saudara sesama Islam yang telah dikurniakan oleh Allah s.w.t. dengan kekayaan dari sudut material atau harta benda dari sumber yang halal dan berfaedah. Ia menghabiskan harta tersebut untuk didermakan, berzakat, infaq serta sebarang bentuk amal kebajikan, jalan kebaikan demi mencari keredhaan Allah s.w.t.
2. Perasaan cemburu terhadap saudara mereka sesama Islam yang telah dikurniakan oleh Allah s.w..t dengan hikmat serta ilmu pengetahuan yang menjadikan ia sebagai ulama, pendakwah, pengajar, tawadduk, khusyuk serta juga tekun beramal dengan ilmu pengatahuan yang dipelajarinya itu.
|
Jangan jadi macam kucing ni..tak baik (^ ^,) |
Selain daripada dua perkara tersebut, dengki adalah diharamkan , malah ia akan menyebabkan amalan kebajikan seseorang itu akan terhapus. Berdasarkan hadis dari Anas bin Malik, Nabi bersabda :
“ Janganlah kamu saling benci membenci, saling berdengki dan belakang membelakangi, jadilah kamu hamba hamba Allah s.w.t. yang bersaudara. Kerana tidak halal seseorang muslim itu tidak bertegur sapa dengan muslim lain lebih daripada tiga hari ”.
Apa yang dapat dikaitkan dengan hadis yang tersebut ialah golongan manusia yang dijadikan oleh Allah s.w.t. di permukaan bumi ini. Sebagaimana yang dapat dikaitkan dengan hadis tersebut dapat dikategorikan kepada empat jenis manusia yang secara ringkasnya dapat dinyatakan:
- Seorang hamba Allah yang dikurniakan rezeki dan harta kekayaan dan ilmu pengetahuan. Ia telah menggunakan hartanya itu sebagai wasilah untuk bertaqwa kepada Allah s.w.t juga untuk membantu kaum kerabat dan melakukan kebajikan kerana Allah s.w.t. Golongan ini adalah golongan yang paling tinggi tingkatnya dan terpuji kedudukannya.
- Seorang hamba Allah yang dikurniakan dengan ilmu pengetahuan namun ia tidak memiliki harta kekayaan namun di sudut hatinya tersemat niat dan tekad : andai kata aku memiliki harta kekayaan, pasti akan aku lakukan apa yang telah dilakukan si dia yang kaya itu. Lantaran itu ia mendapat pahala kerana niat yang suci itu hingga menyamai pahala orang kaya yang pemurah sebagaimana yang di idam-idamkannya.
- Seorang hamba yang dikurniakan oleh Allah harta kekayaan namun tidak berilmu. Lantaran itu ia menggunakan kekayaan itu bukan untuk kebajikan, bukan untuk bertaqwa juga bukan untuk membantu kerabatnya, bahkan juga ia tidak menunaikan kewajipan Allah. Orang ini merupakan seburuk-buruk dan sekeji-keji manusia.
- Seorang hamba yang tidak dikurniakan oleh Allah dengan rezeki kekayaan dan tidak dikurniakan ilmu pengetahuan, namun ia berniat dan tertanam dalam sanubarinya : andai kata aku memiliki harta pasti akan aku lakukan seperti si kaya yang pentingkan diri, tidak bertaqwa dan mewah itu. Maka kedua-dua golongan ini adalah sama dosanya.
Sebenarnya orang yang mempunyai perasaan hasad dengki atau irihati terhadap orang lain merupakan orang yang tidak maju, tidak berwawasan serta tidak ada potensi akan maju. Hal tersebut kerana ia tidak dapat menumpukan sepenuh pemikirannya terhadap kerjayanya dan memajukan dirinya selagi apa yang ia dengkikan itu tidak tercapai. Hatinya sentiasa gelisah dan tidak tenteram, seterusnya juga menbawa kesan kepada keimanan terhadap ketetapan allah s.w.t., iaitu menujukkan ia tidak redha terhadap qada’ dan qadar Allah s.w.t.
Sifat dengki merupakan salah satu daripada penyakit hati..dan boleh menyebabkan hati menjadi gelap dan rosak. Oleh itu, kalau kita nak berdengki, biarlah dengki yang diharuskan seperti dalam hadith Nabi tersebut.
Sumber : Huraian Hadith-Hadith Hukum
P/s : Ambil dari buku STPM..teringat zaman-zaman form 6 STPM kat Hisamuddin. Rindu nak jadi pelajar sekolah semula (^______^)
والسلام
Syukran kerana sudi membaca..boleh Like dan Share entri ini