بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum
Dulu, saya pernah menulis tentang isu berkenaan Layan Macam Pelacur. Kini, saya bawakan pendapat daripada AKSIS (Angkatan Siswi Dinamis UKM) tentang isu ini. Saya sangat bersetuju dengan pendapat AKSIS.
Saya rasa belum terlewat untuk saya di peringkat Aksis membidas kenyataan yang dibuat oleh Dr Rohaya , Naib Presiden Kelab Isteri Taat di mana beliau mengatakan seorang isteri haruslah melayani suami seperti mana ‘pelacur kelas pertama’ untuk memastikan suami tidak curang dan mencari wanita lain. Mendengar kenyataan tersebut pun sudah membuatkan hati saya hancur luluh. Kenyataan beliau samalah seperti menyamakan layanan seorang isteri solehah yang taat kepada suami seperti mana pelacur kelas pertama.
Kenyataan beliau tidak mencerminkan status beliau selaku seorang intelektual apabila menggunakan istilah yang sangat tidak sesuai di mana ‘pelacur’ merupakan istilah yang digunakan untuk menggambarkan peranan isteri pada zaman jahiliah. Saya sangat yakin dan percaya, golongan wanita umumnya dan siswi khususnya yang mendengar kenyataan ini tidak akan terinspirasi bahkan merasakan diri sangat hina apabila isteri harus melayan suami seperti mana pelacur yang tidak mempunyai maruah diri .
Kenyataan beliau seolah-olah menyeru golongan isteri untuk belajar daripada pelacur kelas pertama bagaimana seharusnya melayani seorang suami sedangkan dalam kehidupan berumahtangga, seks bukanlah resepi utama kebahagiaan rumahtangga. Sungguh tidak berasas apabila kelab yang memperjuangkan agar seorang isteri taat kepada suami menyuruh mencontohi pelacur yang diketahui bekerja kerana wang dan semestinya tidak taat kepada seorang pelanggan sahaja. Apakah tidak ada contoh lain yang lebih sesuai seperti ‘bidadari di syurga’?
Perlu diketahui bahawa di Malaysia, berdasarkan kajian, trend perceraian bagi tempoh 1998-2002 menunjukkan hampir 70 peratus kes perceraian di Kelantan, Johor dan Terengganu dipohon oleh wanita(isteri). Di beberapa negeri lain pula menyaksikan lebih 50 peratus wanita sebagai plaintif dalam kes perceraian (sumber: Harian Metro). Hal ini menunjukkan, isteri juga merupakan pihak yang tidak berpuas hati dengan kehidupan berumahtangga bukan sahaja suami. Oleh yang demikian, tidak perlulah menghighlightkan isteri sebagai punca utama kegagalan rumahtangga. Seharusnya, mereka menawarkan penyelesaian yang melibatkan kedua-dua pihak dalam memastikan rumahtangga sentiasa utuh dan kukuh.
Memetik respon Musa Awang, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), "Isteri bukanlah seorang pekerja seks bagi suami. Tugas isteri melayan suami adalah suatu ibadah yang diberi ganjaran pahala dari Allah. Walaupun suami diwajibkan memberikan nafkah kepada isteri dalam bentuk tempat tinggal, makan minum, pakaian atau wang ringgit, ia bukanlah sebagai ganti kepada khidmat seks yang isteri berikan. Ia adalah suatu amanah dan tanggungjawab kerohanian yang telah ditetapkan oleh agama, yang juga diberi ganjaran pahala oleh Allah," katanya.
Sehubungan itu, Aksis melihat kelab ini tidak mempunyai orientasi yang jelas dan kukuh dalam memberi solusi terbaik ke atas masalah penceraian berdasarkan kenyataan awalnya yang merendahkan martabat wanita dan tidak selari dengan matlamat kelab tersebut untuk membimbing isteri supaya taat kepada suami. Mereka harus mengkaji terlebih dahulu punca utama berlaku penceraian dan pembuangan bayi sebelum membuat kenyataan umum yang boleh menimbulkan salah faham pelbagai pihak dan masyarakat.
Editor:
Nurhidayu Rosli
Pengerusi Angkatan Siswi Dinamis (AKSIS)
P/s : Semoga perkongsian ini bermanfaat
والسلام
4 luahan hati:
hurm..bermacam-macam pendapat mengenai isu ni..
Assalamualaikum. saya setuju dgn pendapat mrk. sangatlah tidak setuju dgn kenyataan tersebut. agak tidak wajar.
mmg xspeatutnye beliau menggunakan aitilah pelacur...sbb mindset trhdp perkataan tu mmg kearah negatif...
knyataan yg dibuat oleh dr yang bangang 2, mencerminkan pemikiran yang buruk terhadap islam...menunjukkan beliau sdiri xpaham dgn agama...
Post a Comment