Aku ialah Raja


بسم الله الرحمن الرحيم

Seorang raja telah digulingkan dalam satu konspirasi dalam kalangan menteri-menteri kanannya. Raja itu kemudiannya diracun sewaktu ditahan dalam istana. Anak raja yang masih remaja tidak dibunuh. Jika dibunuh dikhuatiri rakyat akan bangkit memberontak. Para menteri berpakat untuk merosakkan keperibadian anak raja itu agar dia tidak bercita-cita lagi untuk menggantikan ayahandanya. Anak raja itu pun diasingkan di kawasan pedalaman, kononnya dengan alasan anak raja itu perlu dilatih untuk menjadi raja pada masa akan datang.

Para menteri yang berkonspirasi itu bermesyuarat bagaimana untuk merosakkan anak raja itu. "Kita berikan dia makanan sedap-sedap dan lazat-lazat. Biar dia makan sahaja. Tubuhnya akan gemuk dan ditimpa berbagai-bagai penyakit. Jika dia sudah menghidap kencing manis, darah tinggi dan obesiti, mana larat dia berfikir. Usahkan jadi raja, entah-entah mati muda," cadang seorang menteri. Seorang menteri lain memberi cadangan : "Kita biarkan dia tenggelam dengan hiburan dan keseronokan. Kita bekalkan arak, muzik dan wanita-wanita. Biar dia ketagih dan hanyut dalam dunia keseronokan. Justeru, tidak akan lagi bercita-cita besar. Rakyat tidak akan menyalahkan kita jika dia sendiri tidak berminat untuk menjadi raja.."

Program menghancurkan kreadibiliti dan reputasi anak raja itu pun dilaksanakan. Satu badan khas dilantik untuk membekalkan apa yang mereka rancangkan untuk anak raja yang masih remaja itu. Setelah beberapa tahun, para menteri tersebut pergi melawat si anak raja. Mereka ingin melihat hasil program yang telah dilaksanakan bertahun-tahun itu.


Mahkota, Raja, Mahkota Indah, Mahkota Mahal

Namun alangkah terperanjatnya mereka apabila melihat anak raja itu membesar sebagai seorang yang sihat, berwibawa dan matang. Tidak ada tanda-tanda yang dia menghidap penyakit, sugul, ataupun hilang semangat. "Kamu tidak makan makanan lazat yang kami berikan?" "Saya makan, tetapi sekadarnya," jawab anak raja. "Kamu tidak minum arak?" "Tidak sekali-kali" "Kamu tidak tergiur dengan wanita-wanita yang cantik disini?" "Saya menahan diri" "Kamu tidak suka muzik?" "Hanya muzik yang membina jiwa dan kesegaran rasa"

Para menteri menggeleng-gelengkan kepala. "Kenapa kamu menolak semua itu?" "Semua itu akan merosakkan diri saya," jawab anak raja. "Mengapa kamu terlalu berhati-hati dan menjaga diri?" "Kerana saya sedar, saya bakal menjadi raja! Seorang raja mesti menjadi orang yang sihat, kuat dan baik untuk menjaga kebajikan rakyatnya. Saya dilahirkan untuk menjadi seorang raja!" Menteri-menteri terkejut..


Pengajaran : Cita-cita dan wawasan yang tepat dan jelas dalam jiwa dan pemikiran seseorang akan mendorongnya bertindak selaras dengan cita-cita dan wawasannya itu. Dia tidak akan dapat diganggu gugat oleh sebarang elemen negatif. Dia sentiasa fokus dan tahan godaan dalam proses mencapainya.


والسلام



Syukran kerana sudi membaca..boleh Like dan Share entri ini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Copyright Control : Atika Aula