Home » » Manusia yang sombong

Manusia yang sombong


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum

Bersyukur kerana kita menjadi seorang manusia..kejadian kita berasal daripada air, apabila jatuh ke tanah ayam tak patuk, itik tak sudu. Tetapi, bila ia tumpah ke rahim, kita menjadi manusia. Allah mengangkat kita ke satu darjat yang paling tinggi antara makhluk-makhluk yang lain. Bersyukur tak kita? 

Bukti kita bersyukur atas segala nikmat yang diberi ialah kita patuh akan perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Tanda yang paling jelas ialah satu perbuatan kita di dalam solat iaitu sujud. Sujud menunjukkan bahawa kita sedar siapa diri kita di hadapanNya dan menyebabkan akan hilang rasa angkuh, riyak dan sifat-sifat mazmumah yang lain. Hari ini, berapa ramai yang masih enggan sujud kepadaNya?


Terdapat ayat-ayat Al-Quran yang membuktikan bahawa terdapat makhluk lain yang bersujud kepada Allah s.w.t :

Malaikat sujud

Maksudnya :  (Setelah selesai kejadian adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali..
( Surah Al-Hijr   15 : 30)


Pokok sujud

Maksudnya : Dan tumbuh-tumbuhan yang melata serta pohon-pohon kayu-kayan, masing-masing tunduk menurut peraturannya..
( Surah Ar-Rahman 55 : 6)


Bayang-bayang sujud

Maksudnya : Tidakkah mereka melihat dan memikirkan segala yang telah dijadikan oleh Allah, yang beredar (berpindah-randah) bayang-bayangnya ke kanan dan ke kiri (pada pagi dan petang), dengan keadaan tunduk menurut peraturan dan kehendak Allah, sedang mereka merendah diri?

( Surah An-Nahl 16 : 48 )


Makhluk melata sujud 

Maksudnya : Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak serta Malaikat; sedang mereka (Malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadanya). Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaanNya), serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan.

( Surah An-Nahl 16 : 49-50)


Semua makhluk sujud kepada Allah 

Maksudnya : Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi..
( Surah An-Nahl 16 : 49)




Daripada ayat-ayat Allah ini menunjukkan bahawa kesemua makhluknya sama ada yang berakal ataupun tidak tunduk atau sujud kepadaNya. Daripada sekecil-kecil kejadian hinggalah sebesar-besarnya. Semua berada dalam keadaan yang hina di hadapan Allah. Mereka patuh dengan bersujud kepadaNya. Seharusnya manusia sebaik-baik kejadian, wajib lebih bersyukur dan lebih bersujud dan tunduk berbanding makhluk yang lain.

Ayat yang menunjukkan bahawa tidak semua manusia sujud kepada Allah s.w.t  dalam Surah Al-Haj surah ke 22 ayat 18 :

Maksudnya : Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkannya.

Dalam ayat tersebut jelaslah bahawa terdapat sebahagian manusia yang bersujud dan sebahagiannya enggan..semua itu adalah disebabkan kealpaan mereka terhadapa nikmat dunia.



Sujud ini adalah bukti kepatuhan dan ketaatan kita kepada Allah s.w.t. Orang yang enggan sujud kepada Nya adalah orang yang derhaka. Ketika peristiwa penciptaan Nabi Adam a.s, Allah memerintahkan semua malaikat dan jin sujud kepada Adam. Namun, yang ingkar ialah iblis.  Perintah sujud kepada Adam merupakan satu perintah Allah untuk melihat sejauh mana ketaatan makhlukNya kepada perintahNya. Jika manusia juga tidak mahu sujud kepada Allah, manusia juga boleh dikategorikan sama seperti makhluk yang mana? Fikirkan sendiri..




P/s : Allah dah beri kita segala macam nikmat, namun kita masih lagi sombong. Masih ingkar. Kalau kita sesama manusia macam ni, kita mesti dah di cop sebagai manusia tak kenang budi kan? Tapi, Allah itu Maha Pemurah..Maha Pengasih. Dia memberi kita nikmat walaupun kita ingkar kepadaNya. Dia memberi kita masa untuk berubah. Sedarkah kita??


 والسلام



Syukran kerana sudi membaca..boleh Like dan Share entri ini

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Copyright Control : Atika Aula